Blogger Widgets

Sunday 8 July 2012

Mr. Secret Admirer


BAB 1

                                    “JURURAWAT PERIBADI DIPERLUKAN”. 
                                    BERMINAT?  SILA HUBUNGI…….

Zureen  tersenyum.  Gembira bukan kepalang.  Apa yang dicarinya selama ini akhirnya diketemui.  Zureen harus cepat bertindak sebelum jawatan itu disambar orang.  Semenjak sebulan yang lau, dia menjadi penunggu setia di depan internet gara-gara sibuk mencari peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan yang dimiliknya.  Hampir dua bulan dia menjadi penganggur terhormat semenjak menamatkan pengajiannya.
Zureen terus sahaja mencatatkan butiran  tentang jawatan yang ingin dipohonnya.  Setelah membaca perincian mengenai jawatan itu, Zureen sangat berpuas hati kerana merasakan dia memenuhi syarat yang diperlukan untuk jawatan itu.  Kebetulan alamat yang tertera tidak jauh dari rumahnya dan apa yang lebih menarik  perhatiannya adalah jumlah gaji yang ditawarkan.  Empat angka!
Zureen segera mencapai telefon bimbitnya dan cuba mendail nombor telefon yang tertera di iklan tadi.  Berdebar-debar hatinya sementara menunggu panggilannya diangkat kerana dia tidak pasti sama ada pengiklan itu berbangsa apa.  Ini kerana tidak dinyatakan pula di dalam iklan itu.  Zureen tekad ingin mencuba.  Jika bukan melayu, dia akan membatalkan saja niatnya itu.  Tidak lama selepas itu, kedengaran suara seorang wanita yang menyambut panggilannya.
“Hello”, agak serius suara wanita itu.  Bertambah berdebar hati Zureen.
“Assalamualaikum….”,ucap Zureen lembut.  Sekadar menduga.
“Waalaikumsalam”, jawab wanita itu.  Alhamdulillah.  Islam dan rasa-rasanya berbangsa melayu dari cara wanita itu bercakap.
“Maafkan saya…err…puan..sebenarnya tujuan saya telefon ni sebab saya nak bertanya berkenaan jawatan jururawat peribadi yang diiklankan di internet…”
“Oh, ya…ya memang betul saya ada iklankan jawatan tu di internet.  So, awak berminat untuk memohon ke?”, tiba-tiba suara wanita yang serius tadi bertukar girang.
“Ya puan…saya berminat ingin memohon jawatan ini”
“Ooo…ye ke?  Bagus…bagus.  Err…siapa nama cik?”
“Saya Zureen”
“Ok cik Zureen.  Bila cik Zureen boleh datang untuk interview?”
“Bila-bila pun boleh.  Terserah pada puan”,  jawab Zureen dengan excited.
“Kalau macam tu, hari ni boleh?”, wanita itu turut excited.
Alamak!  Hari ini?  Ok sajalah.  Nanti melepas pulak.  Zureen terus sahaja bersetuju.
“Boleh puan.  Puan nak saya datang pukul berapa ya?”
“Pukul 3 petang ni.  Cik  Zureen tahu ke alamatnya di mana?”
“Ya puan.  Saya tahu tempatnya di mana.”
“Baiklah.  Kita jumpa petang nanti ya.  Assalamualaikum..”
“Waalaikumsalam…”.
Zureen menarik nafas lega.  Dia segera berlalu ke biliknya.  Dikeluarkan semua sijil-sjil yang dimilikinya dan dimasukkan dalam satu folder file.  Setelah berpuas hati, dia membuka pula almari pakaiannya dan memilih pakaian yang sesuai untuk dipakai.  Dia memilih untuk mengenakan seluar denim biru tua dan blouse ungu muda lengkap dengan tudung bercorak warna sedondon dengan blousenya.  Tidak perlu terlalu formal kerana sesi temuduga hanya akan dijalankan di rumah wanita itu.
Zureen berlalu pula ke dapur untuk menjenguk uminya yang sedang menyediakan hidangan makan tengahari.  Bau asam pedas mengundang rasa lapar.
“Hmm…..umi sedapnya bau asam pedas umi ni.  Terus lapar perut Zureen”, Zureen mencapai senduk dan mengacau-ngacau kuah asam pedas itu. 
Dicedoknya sedikit kuah asam pedas itu dan merasanya.  Memang sedap!  Hingga terpejam matanya.  Memang tiada siapa yang boleh menandingi asam pedas uminya, Hajah Aminah.
“Kalau dah lapar sangat, pergilah hidangkan.  Boleh panggil sekali baba kamu makan.  Dia pun dah lapar tu.  Baba kamu tu bukannya boleh lewat makan”, arah Hajah Aminah.
Ligat tangan Zureen menyusun pinggan dan cawan di meja makan.
“Umi petang ni Zureen ada temuduga”, Zureen memberitahu uminya sambil mencedok lauk-pauk ke pinggan.
“Temuduga?  Kerja apa?”
“Jururawat peribadi”
“Jururawat peribadi?  Amboi, mesti orang kaya.  Kalau tak, takkan sampai cari jururawat peribadi?  Kat mana tu?”
“Kat Ledang Height”
“Ledang Height?  Wah, kawasan orang kaya tu Zureen…maknanya  Zureen nak bekerja di rumah orang kaya tu ke?”
“Entahlah mi…Zureen pun tak tahu lagi.  Nantilah tunggu masa temuduga nanti baru Zureen tahu”
“Kalau setakat di Ledang Height tu bagus juga.  Taklah jauh sangat dari rumah kita.  Senang sikit Zureen nak berulang-alik”
“Tula yang Zureen risaukan mi.  Kawasan tu rasa-rasanya takde  pengangkutan  awam.  Kalau ada bas pun cuma berhenti kat luar aje”
“Apa nak risau.  Baba kan ada.  Nanti baba boleh tolong hantar kalau Zureen dapat kerja tu”
“Kalau boleh Zureen tak naklah susahkan baba.  Baba tu matanya bukan awas sangat”
“Alah…tak payah risaulah pasal tu.  Yang penting Zureen pergi temuduga tu.  Kalau dapat kerja tu, nanti kita fikirkanlah sama-sama macam mana.  Dah pergi panggil baba makan”, akhirnya uminya memutuskan.
***********************
Seperti yang dijanjikan, tepat pukul 3 petang, Zureen sudah terpacak di hadapan banglo mewah itu.  Dia terus menekan loceng di pintu pagar batu .  Sementara menuggu dipanggil, Zureen sempat memerhatikan kawasan sekitar banglo itu.  Memang  sangat cantik.  Sesuai dengan harga hartanahnya.  Sememangnya Ledang Height yang terletak di Nusajaya adalah kawasan elit.  Hanya orang kaya saja yang mampu membeli tanah di situ kerana harganya mencecah hingga jutaan ringgit.  Kebanyakan penghuni di situ adalah terdiri dari ahli-ahli perniagaan dan warga Singapura.
Khayalan Zureen mati serta-merta apabila tiba-tiba pagar automatik itu terbuka.  Dia teragak-agak untuk masuk kerana tiada sesiapa di situ yang menjemputnya masuk.  Dia melangkah juga memasuki perkarangan banglo mewah itu.  Dua buah kereta mewah diparkir di perkarangan banglo itu.  Sebuah kereta sport dan sebuah lagi MPV.
Kedatangannya disambut oleh seorang wanita Indonesia.  Dari pakaiannya dan caranya bertutur, Zureen dapat mengagak mungkin  wanita itu adalah pembantu rumah.
“Embak Zureen ya?”, tegur wanita Indonesia itu.
Zureen hanya mengangguk dan tersenyum.
“Silakan embak Zureen.  Datin sedang menuggu di dalam”, sambungnya lagi.
Datin?  Zureen menuruti langkah pembantu rumah itu.  Hatinya sedikit berdebar-debar.  Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam banglo mewah itu, langkahnya terhenti.  Matanya terpaku melihat kecantikan hiasan dalaman banglo mewah itu.  Sungguh menakjubkan!  Zureen merasakan dia seolah-olah berada di dalam istana.
Bagaikan mengerti perasaan Zureen, pembantu rumah banglo itu tersenyum memandang Zureen.
“Silakan duduk embak Zureen.  Sebentar lagi Datin akan turun.  Saya mohon permisi dulu”, tuturnya dengan sopan dan segera berlalu meninggalkannya terkulat-kulat di situ.
“Betul ke aku nak kerja kat banglo ni?”, Zureen berbisik.
Zureen terus leka mengamati keindahan ruang tamu itu.  Tiba-tiba matanya tertarik untuk melihat frame gambar yang disusun di atas piano.  Dia memberanikan diri melangkah ke arah piano itu.  Diperhatikan satu persatu gambar-gambar itu.
“Yang mana satu tuan rumahnya?  Yang ni kot?  Kalau yang ni, memang cantik..tapi…siapa yang sakit?  Aku tengok semuanya sihat walafiat aje..”, gumam Zureen sambil terbongkok-bongkok mengamati gambar-gambar itu.
Tiba-tiba Zureen disapa dari belakang.  Zureen terkejut dan hampir terlepas frame gambar yang dipegangnya tadi.
“Cik Zureen..”sapa wanita itu.  Zureen menoleh.
Sekali lagi dia terpana.  Dia terpana sebaik sahaja melihat wanita yang sedang berdiri di hadapannya.  Cantik!  Mungkinkah wanita ini yang menyambut panggilannya pagi tadi?  Zureen terpegun melihat penampilan wanita di hadapannya.  Orangnya kelihatan muda disebabkan cara penampilannya.
“Assalamualaikum…err…Datin”, sapa Zureen dengan hormat untuk menutup perasaan malu dan gemruhnya.
“Waalaikumsalam…silakan duduk Cik Zureen”. Pelawanya lembut.  Mujurlah perwatakan wanita itu lembut, kalau tidak bertambah gemuruhlah darah Zureen.
“Terima kasih Datin..”
“Datin Raja Fatimah..”, pintas wanita itu
“Datin Raja boleh panggil saya Zureen saja”
Wanita itu tersenyum bila mendengar cara Zureen memanggilnya.
“Tak payahlah berdatin-datin.  Panggil auntie saja lagi senang.  So…inilah Zureen ya.  Hmm…cantik  orangnya.  Berapa umur Zureen ni?”, lembut sungguh suara wanita itu memujiku. 
Zureen tunduk tersenyum.  Malu dipuji begitu.  Makin kuat hasrat Zureen untuk bekerja di situ kerana semenjak dari rumah tadi, Zureen sudah terbayangkan dia akan berhadapan dengan seorang wanita yang serius dan sombong.  Dari cara percakapannya di telefon pagi tadi yang menyebabkan Zureen berfikiran begitu. Ternyata dia tersilap.
“22 tahun Datin…err..auntie
“Hmmm…muda lagi”
Pembantu rumah yang menyambut Zureen tadi keluar sambil menatang dulang yang berisi dua gelas air dan sepiring kuih.
“Silakan Zureen.  Jangan malu-malu”, pelawa Datin Raja Fatimah.
“Kenapa Zureen berminat untuk memohon jawatan ni?”, wanita itu memulakan bicara.  Mungkin sesi interview sudah bermula.
“Sebenarnya Datin….sudah hampir dua bulan saya menganggur sebab masih tak dapat lagi kerja yang sesuai dengan kelulusan saya.  Kebetulan pula bila saya cari di internet, terbaca pula iklan jawatan ini.  Saya terus mencuba disebabkan saya rasa saya memenuhi kriteria yang ditetapkan”, lancer Zureen menerangkan.
“Apa kelulusan Zureen?”
“Saya ada diploma kejururawatan.  Ini sijil-sijil saya”, Zureen terus sahaja menghulurkan failnya walaupun tidak diminta.  Wanita itu terus sahaja melihat sijil-sijil yang berada di dalam folder file Zureen.
“Kenapa Zureen tak bekerja di mana-mana hospital atau klinik?  Biasanya selepas tamat saja pengajian, bukan ke akan terus sahaja dipostingkan?”
“Saya belajar di kolej swasta Datin...err..auntie.   Saya perlu memohon terlebih dahulu sebelum dipostingkan”
“Zureen ada pengalaman menguruskan orang sakit?” tanya wanita itu lagi.
Zureen terdiam seketika.  Memang dia tiada pengalaman secara rasmi tetapi pengalaman semasa menguruskan arwah neneknya yang diserang strok dulu adalah.
“Pengalaman secara rasmi memang tak adalah autie tapi pengalaman menjaga arwah nenek saya saja tapi selepas SPM dulu saya pernah bekerja sekejap di sebuah klinik swasta..”
“Arwah nenek sakit apa?”
“Angin ahmar.  Dia diserang strok kerana tekanan darahnya terlalu tinggi.  Lepas tu terus lumpuh satu badan”, balas Zureen.  Masih segar diingatannya di saat dia membantu uminya menyalinkan lampin, memandikan dan memberi makan.  Memang itulah tugasnya setiap kali dia cuti semester.
Zureen tertanya-tanya di dalam hatinya.  Adakah dia terpaksa menjaga orang tua yang sakit seperti arwah neneknya?  Kalau benar, mampukah dia bertahan.  Ini kerana menjaga orang yang sakit seperti arwah neneknya memerlukan kesabaran yang tinggi.  Dia dulu pun sentiasa merungut dengan uminya apabila terpaksa membersihkan najis neneknya.  Asyik ter’uwek-uwek’ saja setiap kali membersihkan.  Mujurlah ketika itu, arwah neneknya sudah tidak mengenali sesiapa pun.  Kalau tidak mungkin neneknya sudah terasa hati dengan kelakuannya.
“Zureen boleh bersabar ke melayan kerenah orang sakit?”
Soalan Datin Raja Fatimah itu makin menguatkan firasatnya yang dia akan disuruh menjaga pesakit strok.  Alamak!  Macam mana ni?  Nak terima atau tidak?  Tapi kalau tak terima, dia merasa rugi pula disebabkan gaji yang ditawarkan agak lumayan.  Tambahan pula dia sudah jelak menjadi penganggur.
“Dah jadi tanggungjawab saya auntie.  Kalau dah itu tugas saya, saya kenalah banyak-banyak bersabar.  Lagi pun saya dah biasa menguruskan pesakit-pesakit sebegini.  Masa belajar dulu, saya dah didedahkan dengan pelbagai jenis penyakit”, jawab Zureen untuk cuba meyakinkan Datin Raja Fatimah.
Zureen bertanya dirinya sendiri.  Betul ke aku dah biasa?  Dia sekadar tersenyum di dalam hati kerana jawapannya itu memang kontra dengan apa yang dirasa.  Namun, demi pekerjaan ini, dia harus berkorban.  Sampai bila dia harus menganggur?
“Kalau dimarah atau diherdik pun Zureen boleh bersabar?”
Soalan Datin Raja Fatimah menambah goyah hati Zureen.  Semakin kuat hatinya meronta ingin tahu dengan siapa dia harus berkhidmat.  Pesakit mental ke?
“Saya akan cuba auntie…”, jawab Zureen dengan yakin walaupun hatinya agak goyah.
“Err…auntie..kalau tak keberatan, boleh auntie beritahu  saya, siapa yang sakit?  Siapa yang harus saya jaga?”, Zureen memberanikan diri untuk bertanya setelah bosan berprasangka.
Datin Raja Fatimah tidak menjawab soalan Zureen, sebaliknya dia hanya tersenyum lalu bangun.
“Jom…mari auntie tunjukkan siapa yang harus Zureen jaga”
“Err..auntie…saya sudah diterima bekerja ke?”, soal Zureen walaupun soalan itu kedengaran bodoh sambil mengekori langkah Datin Raja Fatimah menaiki tangga menuju ke tingkat atas banglo itu.
“Kalau Zureen boleh bersabar….”
Lagi-lagi itu yang diungkapkan Datin Raja Fatimah.  Teruk sangat ke pesakit tu?  Siapa pula pesakit itu dengan Datin Raja Fatimah?  Biasanya yang memerlukan kesabaran yang tinggi bila merawat pesakit strok atau pesakit mental.  Yang mana satu ni?
Ketika perasaan Zureen terus berteka-teki, akhirnya mereka sudah berada di hadapan sebuah bilik.  Datin Raja Fatimah menoleh sekilas ke arah Zureen sambil tersenyum.
Are you ready?
Zureen tidak menjawab sebaliknya hanya mengangguk.  Debarannya semakin kencang.  Dia sudah membayangkan, sebaik sahaja pintu itu dibuka, kelihatan seorang tua yang sedang terlantar di atas katil atau pesakit mental yang sedang diikat di katil!
Datin Raja Fatimah mengetuk pintu tanda meminta kebenaran sebelum memasuki bilik itu.  Zureen sedikit pelik.  Kenapa perlu ketuk pintu kalau pesakitnya sedang terlantar di atas katil?  Kalau pesakit mental pulak, sudah tentu Datin Raja Fatimah yang memegang kunci bilik itu.  Sudah tentu  bilik itu harus sentiasa dikunci.  Kalau tidak, pesakit mental itu pasti menganggu orang-orang di dalam rumah.  Ah! Bingungnya!
“Masuk!!”, kedengaran suara garau lelaki yang menjawab ketukan pintu Datin Raja Fatimah.
Datin Raja Fatimah menolak perlahan-lahan pintu bilik itu.  Melihat Zureen masih terpaku di hadapan pintu bilik tidak bergerak, Datin Raja Fatimah segera menegur.
“Mari Zureen….auntie nak kenalkan pesakit yang Zureen nak kena jaga tu..”
Dengan debaran yang masih belum reda, Zureen melangkah masuk ke bilik itu.  Matanya terpaku melihat seorang lelaki yang sedang duduk di atas kerusi roda di balkoni  menghadap pemandangan luar membelakangkan mereka.  Ternyata andaian Zureen silap.  Bukan orang tua yang strok atau pesakit mental kerana kelihatan lelaki itu tenang duduk di atas kerusi rodanya.
Datin Raja Fatimah melangkah ke arah lelaki itu.  Sebaik sampai, dia terus memeluk bahu lelaki itu dan mencium kepalanya.  Zureen seperti patung bernyawa berdiri tegak dan memerhatikan kedua-dua mereka dengan perasaan pelik.
“Zureen…mari sini” panggil Datin Raja Fatimah.
Seperti robot yang dikawal, Zureen menghampiri kedua-dua mereka.  Lelaki di atas kerusi roda itu seolah-olah tidak mempedulikan kehadiran Zureen, sebaliknya terus diam merenung ke luar.
“Redza…mama kenalkan, ini Zureen, jururawat peribadi Redza yang baru”
Yang baru?  Dah berapa jururawat sebelum ni?  Ooo…anak bujang Datin Raja Fatimah rupa-rupanya.  Agaknya, apalah sakitnya ye?
Lelaki itu hanya menolehnya sekilas dan menyambung semula memandang ke luar.  Memang dia sedikit pun tidak menghiraukan kehadiran Zureen.  Zureen dapat melihat sekali imbas wajah lelaki itu.  Handsome!  Memang patut wajahnya kacak.  Melihat ibunya saja sudah jelita.  Tidak hairanlah kalau anak bujangnya kacak.  Tapi sayang,  wajah tidak terurus.  Berjambang sana berjambang sini!  Entah-entah sakit jiwa.  Hishh!! Kalau muka handsome pun tak guna kalau sakit jiwa. 
“Boleh ke aku jaga dia ni?”,gumam Zureen.
“Zureen…ini Syed Redza.  Anak bujang auntie.  Mulai hari ni, Zureen akan jadi jururawat peribadi kepada Redza”, terang Datin Raja Fatimah sambil mengusap-usap bahu anak bujangnya.  Huh! Menyampah!  Mengada-ngada betul.  Dah tua-tua macam ni pun nak dibelai lagi.
“Redza…mama keluar dulu ye.  Mari Zureen”
Lelaki itu…err  siapa nama dia?  Syed Redza…ya Syed Redza masih terus kaku dan beku di atas kerusi rodanya.  Tiada reaksi dan ekspresi.  Zureen bimbang.  Mampukah dia bekerja dengan manusia sejuk beku begitu?  Patutlah tak habis-habis Datin Raja Fatimah bertanya dia boleh bersabar atau tidak?
Zureen duduk semula di ruang tamu tadi bersama-sama Datin Raja Fatimah.
“Macam mana Zureen?  Boleh jadi jururawat peribadi anak auntie?”
Zureen tidak terus menjawab sebaliknya bertanya.
Auntie…boleh saya tahu.  Anak auntie tu sakit apa?”
Tiba-tiba wajah Datin Raja Fatimah berubah.  Dia kelihatan muram dan amat berat untuk bercerita.
“Dia kemalangan jalan raya lima bulan yang lalu.  Kaki kanannya patah.  Koma selama tiga bulan.  Baru lebih kurang sebulan dia sedar.  Sebaik dia sedar, dia minta pulang ke rumah.  Dia tak mahu tinggal di hospital kerana bosan katanya.  Terpaksalah auntie panggil doktor peribadi kami merawat Redza di rumah.  Sebab tu, auntie perlukan jururawat peribadi untuk menjaganya 24 jam.  Auntie akui, sebelum ni sudah beberapa orang jururawat yang auntie ambil, tapi semuanya tak tahan lama.  Mungkin mereka tidak dapat bersabar dengan perangai Redza…”
Datin Raja Fatimah berhenti seketika.  Dia kelihatan sebak.  Dia menarik nafas seketika dan menyambung ceritanya lagi
“Semenjak sedar dari koma, perangai Redza sudah jauh berubah dari dulu.  Dia mudah naik angin dan mengamuk.  Sebab itulah dua orang jururawat sebelum ini berhenti.  Mungkin tidak tahan dengan sikap Redza”
Zureen diam dan tekun mendengar cerita Datin Raja Fatimah.  Mendengar ceritanya, Zureen juga merasa bimbang.  Jika jururawat-jururawat sebelum ini tidak tahan, sanggupkah dia berhadapan dengan lelaki itu.  Melihat keadaan Redza yang dingin tadi, dia dapat mengagak akan sikap lelaki itu. 
“Macam mana Zureen?  Boleh ke Zureen tolong auntie rawat Redza?”
Soalan Datin Raja Fatimah agak sukar untuk dijawab oleh Zureen.  Dia jadi takut setelah mendengar kisah lelaki itu.  Rasa-rasanya belum terlambat jika dia hendak menarik diri tetapi kasihan pula melihat Datin Raja Fatimah yang seolah-olah sangat mengharapkan khidmatnya.  Zureen sendiri pelik, jauh di sudut hatinya dia merasa ingin berkhidmat dengan lelaki itu.
“Insyallah auntie.  Saya akan cuba bantu merawat anak auntie dan saya akan cuba bersabar”.
Datin Raja Fatimah meluru ke arah Zureen dan memeluknya.  Dia menitiskan air mata.  Zureen terkaku di situ.
Thanks Zureen…Auntie tahu, Zureenlah orang yang paling layak merawat Redza.  Auntie yakin dan sangat yakin.  Zureen cakap saja berapa gaji yang Zureen mahu, auntie sanggup bayar asalkan Zureen sudi bantu auntie untuk merawat Redza”
Zureen turut sayu.  Kata-kata Datin Raja Fatimah seolah-olah telah mengikat dirinya untuk bekerja  di situ.  Bukan disebabkan habuan yang dijanjikan walaupun pada awalnya Zureen tertarik untuk mencuba jawatan itu disebabkan gaji yang ditawarkan, tetapi perasaan belas terhadap Datin Raja Fatimah.  Walaupun belum sejam pun dia di situ, tetapi Zureen dapat merasakan keakrabannya dengan Datin Raja Fatimah.
“Tapi….”, kata-kata Datin Raja Fatimah terhenti sebentar sebaik sahaja dia meleraikan pelukannya.
“Tapi apa auntie?”.  Zureen pelik.
“Zureen terpaksa duduk di rumah auntie sebab Redza perlu dirawat tidak kira waktu”
Zureen tersentak mendengar kata-kata Datin Raja Fatimah.  Tinggal di sini?
“Macam mana Zureen?  Boleh?”
Entah kuasa apa yang datang, tiba-tiba sahaja Zureen mengangguk tanda setuju walaupun sebenarnya dia perlu bertanya pendapat orang tuanya terlebih dahulu.
Thanks sayang…” Zureen dipeluk lagi.
Sayang?  Datin Raja Fatimah memanggilnya sayang?  Kenapa Datin Raja Fatimah memanggilnya sayang?  Dia sengaja atau tidak sengaja?  Pelik!

Friday 6 July 2012

Mr. Secret Admirer

Salam kepada semua pembaca sekalian.  Berikut adalah sinopsis novel kedua novel saya selepas Begitu Takdirnya iaitu Mr. Secret Admirer...

       Mr. Secret Admirer mengisahkan dua orang lelaki Syed Redza dan Dr. Haziq Daniel (abang angkat Zureen) yang secara rahsia meminati seorang gadis yang sama iaitu Zureen.  Walaupun kedua-duanya menyukai Zureen, seorang jururawat peribadi kepada Syed Redza, secara rahsia, tetapi cara mereka menyukai Zureen adalah berbeza.
         Zureen, seorang gadis yang cantik dan baik tetapi bersikap agak 'lurus' apabila melibatkan soal cinta.  Lurus di sini bermaksud dia tidak dapat membezakan antara perasaan kasih sayang antara sesama saudara seislam dengan perasaan kasih sayang yang timbul disebabkan perasaan cinta akibat dari latar belakang hidupnya yang hanya bergaul dengan rakan-rakan perempuan sahaja dan satu-satunya lelaki yg rapat dengannya adalah abang kandungnya sendiri, Zahin.
          Jarak jauh yang memisahkan Zureen dan abang kandungnya, menyebabkan dia kesunyian.  Perkenalannya dengan Dr. Haziq semasa dia menjalani latihan praktikal telah sedikit sebanyak mengubati kesunyiannya.  Namun, dia hanya dapat menganggap Dr. Haziq tidak lebih dari seorang abang.  Dr.  Haziq pula tidak mampu mengubah status hubungannya dengan Zureen walaupun dia sendiri berperang dengan perasaan cinta terhadap Zureen kerana bimbang akan kehilangan gadis itu.
        Syed Redza, seorang lelaki yang telah berubah sikap menjadi peradang, angkuh selepas sedar dari koma akibat dari kemalangan jalan raya yang dialaminya.  Kemalangan yang berpunca dari pertengkaran Syed Redza dengan tunangnya, Lisa hingga menyebabkan ikatan pertunangan mereka terputus.  Insiden itu juga telah menyebabkan Syed Redza berdendam dengan perempuan.
       Zureen berusaha untuk memulihkan keadaan fizikal dan mental Syed Redza kerana dia telah berjanji dengan ibu Syed Redza, Datin Raja Fatimah.  Pelbagai liku-liku yang terpaksa dihadapi Zureen dalam usaha untuk memulihkan Syed Redza.
       Dapatkah Zureen memulihkan kembali Syed Redza?  Dapatkah Dr. Haziq menukar status hubungannya dengan Zureen dari hubungan abang adik kepada hubungan cinta?  Bagaimanakah cara kedua-dua lelaki ini untuk mendapat cinta Zureen?  Adakah kedua-dua lelaki itu mampu meluahkan perasaan cinta mereka kepada Zureen? Bagaimanakah penerimaan Zureen? Jika mereka dapat meluahkan, siapakah yang akan menjadi pilihan Zureen?
       Untuk mengetahui jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut, ikutilah kesudahan novel ini,          MR. SECRET ADMIRER.....

Setinggi penghargaan kepada pembaca setia.....


Love & Kisses

SHILA ALISH









Saturday 3 March 2012

Salam semua...

Kepada mereka yang membaca karya saya, setinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan.  Dalam pada saya leka menulis, tanpa disedari rupa-rupanya tajuk karya saya secara kebetulan sama dengan tajuk sebuah novel yang sedang ada di pasaran sekarang.

Jadi, untuk mengelakkan kekeliruan dan salah sangka, saya telah menukar tajuk novel saya kepasa "Begitu Takdirnya"....kepada yang sudi dan terus membaca, terima kasih diucapkan....

Sekian,

Love and Kisses

SHILA ALISH

Wednesday 15 February 2012

Assalamualaikum w.b.t....
   
        Syukur alhamdulillah, akhirnya impian saya untuk memiliki blog sendiri akhirnya tercapai jua. Satu kejayaan untuk diri saya sendiri kerana dapat menghasilkan blog sendiri walaupun mungkin orang lain sudah lama mempunyai blog sendiri. Tidak mempunyai background ICT langsung, satu kepuasan yang amat sangat apabila dapat menghasilkan blog yang pada saya cukup menggembirakan hati saya.
      Tujuan saya menghasilkan blog ini adalah bertujuan untuk berkongsi dengan anda saya tentang minat saya terhadap dunia penulisan.  Dalam kesuntukan dan kekangan masa, akhirnya saya dapat menghasilkan satu kisah dalam novel terulung saya yang bertajuk "ANDAI ITU TAKDIRNYA".  Harapan saya, bagi anda yang sudi membaca, berikanlah komen yang membina supaya saya dapat perbaiki segala kelemahan dalam penulisan karya saya.  Sesungguhnya, saya adalah 'budak baru belajar'.  Segala teguran dan komen anda, diharapkan dapat membantu saya merealisasikan impian saya untuk menerbitkan novel saya ini.
     Akhir sekali, terima kasih kepada Pn Surya Ashikin & the gang (fasilitator LDP Bil 1/12) kerana banyak membantu sehingga dapat menghasilkan blog ini.  Terimalah blog dan novel saya seadanya......

Sekian Terima Kasih.

Love & Kisses
SHILA ALISH
HAKCIPTA TERPELIHARA: KARYA ANDAI ITU MILIKNYA ADALAH HAKMILIK ROSILA BT RAHMAN