Hari semakin
gelap. Tidak nampak sebarang tanda untuk
menemui Ayuni. Kesemua ahli kumpulan
semakin panik terutama Taufik dan Hisyam.
Puas sudah dijerit nama Ayuni. Lepas seorang, seorang yang lain hingga
terasa sakit tekak. Tidak tahu ke mana
lagi arah hendak dituju. Hendak bergerak
terlalu jauh, tidak dibenarkan oleh ketuanya tadi kerana bimbang lain yang
dicari, lain pula yang akan hilang.
Pencarian Ayuni itu diketuai oleh renjer hutan yang telah
ditugaskan. Terserlah riak bimbang di
wajahnya kerana mungkin merasakan dia telah lalai dalam tugas dan tanggungjawab
yang diletakkan di bahunya. Tidak
sepatutnya dia membiarkan mereka mengagih-agihkan tugasan berkumpulan. Kehilangan Ayuni pasti tidak akan berlaku
jika mereka menyiapkan tugasan yang diberi secara berkelompok. Setelah usaha menjejak Ayuni masih buntu,
renjer hutan, Encik Kamil, Taufik dan Hisyam berpecah kepada tiga arah,
sementara ahli kumpulan yang lain diarahkan menunggu sahaja di check point kerana secara kebetulan
kesemua ahli kumpulan adalah wanita.
Dalam situasi begini, baru diakui apalah yang mampu dilakukan oleh
seorang wanita selain dari bersedih dan menangis.
Sementara itu, di dalam lubang yang agak
dalam dan gelap, Ayuni menyeringai menahan kesakitan terutama di bahagian
kakinya akibat terhentak pada batu yang ada di dalam lubang itu. Walaupun dia tidak dapat melihat dengan
jelas, tetapi dia dapat merasakan darah mengalir keluar. Dia cuba menggerak-gerakkan kakinya, tetapi
tidak berjaya sebaliknya rasa sakit yang amat sangat terpaksa
ditanggungnya. Ayuni menangis kerana
tidak tahan menanggung kesakitan. Lebih
dari itu, hatinya amat hiba mengenangkan nasib yang dialaminya. “Ya Allah, hebatnya ujianMu! Kenapa aku diuji sebegini? Apakah salah dan dosaku selama ini? Andai aku berdosa, ampunilah aku Ya Allah. Sesungguhnya aku tidak mampu untuk terus
menghadapi ujianMu” Ayuni merintih dalam doanya kerana tiada siapa yang mampu
menolongnya ketika itu selain Allah.
Hatinya luluh bila mengingatkan satu persatu malang yang menimpanya di
sini. Kenapa semua ini harus berlaku
kepada dirinya? Dia mula mencari
puncanya. Mungkin selama ini dia
alpa. Mungkin juga selama ini dia hanya
mementingkan dirinya sendiri lebih-lebih lagi soal hati dan perasaannya. Ayuni tahu, dalam tempoh dia kecewa, banyak
hati telah dilukakannya lebih-lebih lagi keluarganya. Dia seolah-olah menghukum orang lain untuk
melampiaskan kemarahannya walaupun sebenarnya Amir yang membuat onar. Kini, rasa penyesalan itu tinggi menggunung.
“Tolong……tolong….tolong saya”, Ayuni
berusaha untuk menjerit walaupun terasa suaranya tersekat di kerongkong. Dia perlu terus berusaha dan tidak boleh
berputus asa walaupun hanya itu yang mampu dilakukannya. Manalah tahu kalau ada sesiapa yang
mendengar. Kalau pun bukan ahli
kumpulannya sendiri, mungkin kumpulan lain yang kebetulan melalui kawasan itu. Itulah harapan terakhirnya walaupun dirasakan
amat mustahil. Ayuni mula terbayangkan
wajah-wajah yang disayanginya. Dia
memikirkan sesuatu yang buruk akan berlaku kepadanya jika dia gagal
diselamatkan.
Dia cuba untuk bergerak tetapi gagal. Jika dia mampu bergerak, sekurang-kurangnya
dia akan berusaha untuk memanjat ke atas.
Dia kemudian menyelongkar beg galasnya untuk mencari botol air kerana
tekaknya itu dirasakan amat perit.
Mungkin kerana asyik menjerit meminta pertolongan. Tiba-tiba dia terpandangkan telefon
bimbitnya. Namun, apalah yang boleh
dilakukan dengan telefon bimbitnya itu kerana sebaik sahaja dia sampai di Taman
Negeri semalam, memang tiada sebarang coverage
line. Ayuni meneguk air yang berbaki sedikit walaupun
tidak mampu menghilangkan rasa perit di tekaknya. Masih terasa dahaga. Badannya dirasakan semakin lemah akibat
kekurangan air. Walaupun semakin lemah,
Ayuni terus menjerit meminta pertolongan dengan harapan ada yang akan mendengar
jeritannya.
HISYAM
terdengar sayup-sayup suara meminta pertolongan. Dia cuba mengamati arah datangnya suara
itu. Jam di tangan ketika untuk
menunjukkan hampir jam 6 petang.
Sepatutnya waktu ini mereka sudah kembali ke chalet penginapan masing-masing.
Tanpa disedari rupa-rupanya sudah hampir tiga jam mereka mencari
Ayuni. Keadaan sekeliling semakin
gelap. Encik Kamil, renjer yang bertanggungjawab
menjaga mereka telah pergi untuk mendapatkan bantuan renjer-renjer yang lain setelah
usaha mereka untuk menjejaki Ayuni menemui jalan buntu manakala Hisyam dan
Taufik berpecah untuk mencari Ayuni.
Hisyam terus cuba menjejaki suara yang didengarnya. Dia yakin bahawa itu pasti suara Ayuni. Benar telahannya kerana dia ternampak Ayuni
yang sedang menahan kesakitan sebaik dia menghampiri sebuah lubang kecil. Sayu hatinya melihat Ayuni dalam keadaan
begitu. Ayuni pula seakan-akan tidak
percaya dengan apa yang dilihatnya.
Setelah puas menjerit meminta pertolongan, dia hampir menangis apabila
ternampak kelibat seseorang menghampiri tempatnya terjatuh. Dia cuba meneliti tetapi persekitaran yang
gelap telah menghadkan penglihatannya tetapi sebaik terdengar suara yang
menegurnya, tahulah dia siapa yang telah berjaya menemuinya.
“Ayuni….awak
ok ke?”, tanya Hisyam dari bahagian
atas lubang. “Sa…saya ok….cuma saya tak boleh bergerak….Encik
Hisyam tolong saya..”,rayu Ayuni yang sudah tidak tahan kerana telah berada
terlalu lama di dalam lubang itu.
“Ayuni…awak relax ok….saya
akan cuba selamatkan awak…. just calm
down”. Hisyam berfikir bagaimana
untuk membawa Ayuni naik ke atas kerana menurut gadis itu, dia tidak boleh
bergerak akibat kecederaan di kakinya.
Dia mundar-mandir di sekitar kawasan itu untuk mencari sesuatu yang
boleh membawa Ayuni naik ke atas. Lubang
yang agak dalam itu menyukarkan Hisyam untuk menarik Ayuni keluar. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Dia menyelongkar beg galas yang dibawanya dan
terjumpa segulung tali guni. Baru dia
teringat memang dia sentiasa membawa bersama tali guni itu setiap kali pergi
memancing. Memang dia bernasib baik
kerana biasanya dia akan menyimpan semua alatan memancingnya dalam satu bekas
khas dan dia sendiri tidak sedar yang tali guni itu masih di dalam beg
galasnya. Hisyam amat bersyukur kerana
di dalam situasi genting itu, masih ada jalan untuk menyelesaikannya.
Hisyam
mengikat tali guni yang sepanjang lebih lima meter itu pada sebatang pokok
berhampiran dengan lubang itu. Setelah
yakin tali yang diikatnya itu cukup kuat, dia mencampakkan lebihan tali itu ke
dalam lubang. “Ayuni…cuba awak pegang
tali tu kuat-kuat…saya akan cuba tarik awak ke atas”,laung Hisyam dari atas
lubang. Ayuni akur dengan arahan
Hisyam. Dia cuba berpaut pada tali yang
dicampakkan oleh Hisyam itu tetapi…”Aduh!”, Ayuni terduduk semula sebaik sahaja
dia cuba berdiri untuk mencapai tali itu.
“Ayuni…are you ok?”, Hisyam
bertanya setelah terkejut mendengar Ayuni mengaduh kesakitan. “Sa…saya tak boleh berdirilah Encik
Hisyam. Kaki saya ni sakit sangat bila
saya cuba berdiri”,jawab Ayuni sambil menahan kesakitan. “Ok..just
stay there. Don’t move. Saya akan cuba turun ke bawah. Ayuni…tolong tahan sikit ye”, balas Hisyam
untuk cuba menenangkan Ayuni.
Hisyam
berpaut pada tali yang agak tergantung itu.
Dia turun perlahan-lahan dengan berpaut pada tali yang telah diikatnya
pada sebatang pokok tadi. Akhirnya dia
berjaya sampai ke dalam lubang itu.
Ayuni hanya mampu memandang dengan perasaan terharu. Bagaikan telah ditakdirkan, sekali lagi
Hisyam yang menyelamatkannya. Tiada kata
yang dapat menggambarkan perasaannya ketika itu apabila melihat bosnya itu
sedang bersusah payah untuk menyelamatkannya.
Hisyam terus mendapatkan Ayuni sebaik sahaja dia sampai ke bawah. Dia mengambil lampu suluh dari beg galasnya
dan menyuluh ke arah kaki Ayuni. Dia
agak terkejut melihat luka di bahagian buku lali Ayuni kerana ianya agak
serius. Walaupun darah telah berhenti
mengalir, tetapi lukanya agak besar dan perlu dijahit. Tanpa disuruh, Hisyam mengambil sapu
tangannya dan terus membalut luka Ayuni.
“Tahan sikit ok…luka awak
serius ni”, Hisyam bersuara perlahan apabila melihat Ayuni cuba menahan
kesakitan sebaik sahaja dia mula membalut luka.
“Awak
boleh bangun tak?”.Hisyam bertanya sebaik sahaja dia selesai membalut luka
Ayuni. Ayuni hanya menggeleng kerana
sudah beberapa kali dia cuba bangun tetapi akhirnya dia akan terduduk semula. Setiap kali dia cuba bangun, rasa sakit yang
amat sangat akan dirasainya di bahagian kakinya. “Kita cuba ok. Kita mesti keluar dari
sini segera sebab hari dah semakin gelap”,Hisyam cuba memujuk Ayuni bila
melihat Ayuni seolah-olah enggan bergerak.
Mungkin tidak tahan menanggung kesakitan setiap kali dia cuba bergerak. “Maafkan saya Ayuni. Izinkan saya pegang awak ok”,Hisyam meminta izin terlebih dahulu daripada Ayuni kerana tidak
mahu Ayuni menyangkanya cuba mengambil kesempatan. Ayuni hanya mengangguk. Tersentuh hatinya dengan keikhlasan
Hisyam. Hisyam memaut bahu Ayuni dan
cuba membantunya untuk berdiri tetapi tidak berjaya. Nampaknya memang serius kecederaan Ayuni
hinggakan dia masih tidak mampu berdiri biarpun Hisyam cuba membantunya. Melihatkan Ayuni tidak mampu bergerak, Hisyam
terus sahaja mengendong Ayuni. Walaupun
Ayuni agak terperanjat dengan tindakan Hisyam, tetapi dia hanya mendiamkan
diri. Dalam waktu getir begini, dia
tidak perlu berfikir yang bukan-bukan. “Ok…sekarang awak cuba berpaut pada tali
ni and slowly cuba naik ke atas”,arah
Hisyam dengan suara tertahan-tahan.
Mungkin terasa berat mengendong Ayuni.
Mujur Ayuni bertubuh kecil molek.
Ayuni
cuba buat seperti yang diarahkan Hisyam.
Dia berpaut pada tali. Sebaik
sahaja Ayuni berpaut, Hisyam melonggarkan pegangannya. Namun dengan tidak disangka-sangka Ayuni
melepaskan pegangannya pada tali kerana tangannya terasa lemah untuk terus
berpaut apatah lagi untuk menolak dirinya bergerak ke atas. Tindakan Ayuni telah menyebabkannya terjatuh
semula dan menghempap Hisyam. Dalam
remang senja, Ayuni masih dapat melihat dengan jelas wajah Hisyam yang jaraknya
hanya beberapa sentimeter dari wajahnya.
Mata mereka bersatu dan mereka saling bertatapan. Tiba-tiba satu perasaan menyelinap masuk ke
dalam hati ke dua-dua mereka. Satu
perasaan yang sukar ditafsirkan dengan kata-kata. Namun, sebaik tersedar, Ayuni segera mencuba
untuk menjarakkan dirinya dari Hisyam.
Dia berusaha untuk bangun.
Walaupun amat sakit tetapi digagahkannya jua. “Ma..maafkan saya Encik Hisyam. Saya tak sengaja. Tangan saya tak kuat untuk terus berpaut pada
tali tu”,Ayuni bersuara sebaik sahaja menyedari kesilapannya. “it’s
ok Ayuni…saya yang salah. Tak
sepatutnya saya suruh awak buat macam tu sedangkan awak memang tak boleh
bergerak”,balas Hisyam yang juga seolah-olah baru tersedar dari kesilapannya. Hisyam menyambung lagi dalam usaha untuk
menutup rasa gementar di hati yang tiba-tiba sahaja datang bertandang. “So,
macam mana kita nak keluar dari sini sekarang?”. Ayuni hanya menggeleng-gelengkan
kepalanya. Sememangnya dia sendiri buntu
untuk mencari jalan keluar. “Kalau macam
tu, nampaknya terpaksalah kita tunggu di sini hingga diselamatkan. Kalau saya pergi dapatkan bantuan, bimbang pulak
tinggalkan awak di sini seorang diri.
Takpelah Ayuni, sama-samalah kita berdoa semoga mereka berjaya menemui
kita”, akhirnya itu sahaja yang mampu dilakukan oleh Hisyam.

Semakin menarik...good job writer
ReplyDelete