Mereka sampai di
Kuala Lumpur lebih kurang jam 6 petang.
Setelah menurunkan Mastura di Puduraya, Hisyam terus sahaja menghantar
Taufik pulang ke rumahnya. Hisyam
meneruskan pemanduannya. Dia tidak
bercadang ke mana-mana, sebaliknya ingin terus pulang ke rumahnya. Dia ingin berehat sepuas-puasnya setelah
melalui pelbagai insiden yang cukup meletihkan fizikal dan mentalnya. Dia langsung tidak menduga bahawa dia akan
terperangkap dalam cinta segi tiga sekembalinya dari kursus motivasi anjuran
syarikatnya. Sekelip mata sahaja kehidupannya tiba-tiba berubah
dan perubahan itu pula disebabkan Ayuni. Dia berani mengatakan situasi yang
dialaminya sebagai cinta segi tiga kerana dia yakin bahawa Ayuni juga mempunyai
perasaan terhadapnya, cuma dia tidak faham kenapa Ayuni tiba-tiba sahaja memutuskan
untuk menerima Taufik kerana dia tahu Ayuni tidak menyukai Taufik. Selama ini
Taufik sering meluahkan kekecewaan kepadanya.
Taufik kecewa kerana Ayuni langsung tidak mempedulikannya walaupun pelbagai cara Taufik lakukan
semata-mata untuk menawan hati gadis itu.
Kepulangan Hisyam disambut oleh
Datuk Bakri dan Datin Hamidah yang kebetulan sedang duduk berehat-rehat di
halaman banglo mereka. Melihatkan kedua
orang tuanya sedang berehat, Hisyam segera mendapatkan mereka. “Assalamualaikum”, sapa Hisyam. “Waalaikumsalam”, kedua-dua suami isteri itu
menjawab serentak. Hisyam mengambil
tempat di sebelah ibunya. “Minum syam…”,
pelawa Datin Hamidah sambil menuangkan air teh ke dalam cawan yang sedia
kosong. Diambilnya sebiji jemput-jemput pisang dan disuapkan terus ke
mulutnya. Datuk Bakri yang sedang
membaca akhbar mengerling sekilas ke wajah anak bujangnya. Melihatkan wajah Hisyam yang agak keruh,
ringan mulutnya bertanya. “Macam mana
dengan kursus? Semua okey?”, soal Datuk
Bakri. “Semuanya okey pa…cuma ada sikit
masalah”, jawab Hisyam perlahan. Datuk
Bakri terus sahaja meletakkan surat khabar yang dibacanya sebaik sahaja
mendengar jawapan Hisyam. “Masalah? Masalah apa pulak?”, soal Datuk Bakri agak
bimbang. Dia bimbang jika ada apa-apa
perkara buruk yang berlaku kepada syarikatnya lebih-lebih lagi yang melibatkan
staf-stafnya. “Ada sikit kemalangan yang
menimpa salah seorang staf kita”, jawab Hisyam pendek. “Kemalangan?
Serius ke? Staf kita yang mana?”,
bertubi-tubi soalan Datuk Bakri. Memang
dia benar-benar bimbang. Belum pernah
lagi berlaku sebarang masalah sepanjang syarikatnya menganjurkan kursus
motivasi untuk staf-stafnya. “Ayuni,
pembantu akauntan..”, hatinya sedikit bergetar apabila menyebut nama
Ayuni. “Ayuni?”, Datuk Bakri cuba
mengingatkan staf yang dimaksudkan Hisyam, maklumlah Menara Holding bukan syarikat
yang kecil dan staf-stafnya pula ramai.
Datin
Hamidah pula hanya mendengar dua beranak itu bercerita soal syarikat. “Papa ingat lagi tak interview untuk cari account
assistant dulu. Masa tu si Ayuni ni
tulis dalam resume yang dia boleh
berbahasa Jepun tapi bila syam tanya, dia tergagap-gagap menjawab…”, Hisyam
cuba mengingatkan Datuk Bakri. Datuk
Bakri terdiam sebentar. Akhirnya dia
tersenyum sendiri. “Oh ya…baru papa
ingat. Taufik yang jumpa papa minta
persetujuan untuk terima si Ayuni ni bekerja dengan syarikat kita. Kemalangan macam mana yang menimpa Ayuni tu?”,
sambung Datuk Bakri. Hisyam sedikit
tersentak dengan kata-kata ayahnya. Baru
kini dia tahu tentang perkara itu kerana disangka memang ayahnya dan ahli
lembaga pengarah lain yang membuat keputusan untuk menerima Ayuni bekerja di Menara
Holding. Kini, baru dia sedar mengapa
Taufik amat marah kepadanya sebaik sahaja menyedari dirinya juga menyukai
Ayuni. Begitu bersusah payah Taufik
untuk mendapatkan Ayuni sehingga sanggup berhadapan dengan ayahnya. Sesuatu yang tidak pernah langsung dilakukan
Taufik sepanjang dia berkhidmat di Menara Holding. “Mula-mula dia tersesat di
hutan masa jalankan aktiviti jungle
tracking. Lepas tu jatuh pulak dalam
lubang.”, Hisyam menceritakan semula insiden yang menimpa Ayuni. “Habis tu
macam mana dia sekarang? Teruk ke
kecederaan dia?”, Datuk Bakri terus ingin tahu.
Sebagai pengerusi syarikat, dia harus bertanggungjawab ke atas
keselamatan dan kebajikan semua stafnya. “Teruk jugalah pa…sampai kena 15
jahitan kat kaki dia tapi papa tak perlu bimbang sebab syam dan Taufik dah
uruskan semuanya. Kami dah hantar pun
dia balik ke rumah orang tua dia sebab kebetulan kampungnya di Johor juga”,
jelas Taufik lagi untuk menghilangkan kerisauan ayahnya. Datuk Bakri menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu risau
setelah mendengar penjelasan Hisyam.
“Syam mesti sentiasa follow up
keadaan Ayuni tu. Papa tak mahu
dikatakan mengabaikan kebajikan staf.
Lagi pun dia dikira tercedera semasa bertugas dan layak untuk claim insuran. Pastikan syam uruskan semua ye”, arah Datuk
Bakri. “Baiklah pa….ok syam masuk dulu
ye ma…badan ni dah lekit semacam je.
Syam nak mandi dulu”, Hisyam bangun meninggalkan kedua-dua orang tuanya.
Datin Hamidah terus sahaja mencuit lengan
suaminya sebaik sahaja Hisyam berlalu masuk.
“Bang…awak tak perasan apa-apa ke pada si Hisyam tu?”, Datin Hamidah
bertanya suaminya. “Lain apanya
pulak? Saya tengok dia biasa aje. Hishh! Awak ni ada-ada ajelah Midah”, bantah
Datuk Bakri. “Datuk Bakri oi…saya ni kan
mamanya. Naluri saya mengatakan ada
sesuatu yang tak kena dengan si Hisyam tu.
Selalunya dia tak macam ni pun”, Datin Hamidah cuba mempertahankan
pendapatnya. Memang nalurinya dapat
merasakan ada sesuatu yang mengganggu anak bujangnya itu. Hisyam kelihatan muram dan tidak seperti
selalu ceria sentiasa. “Dia penatlah
tu. Dah 3 hari pergi kem motivasi
tu. Dahlah tempatnya jauh, lepas tu
menguruskan pulak staf yang kemalangan.
Mana tak penatnya. Kalau saya pun
boleh jadi pengsan dibuatnya”, balas Datuk Bakri cuba menidakkan andaian
isterinya itu. Orang perempuan ni memang
tidak habis-habis hendak menyangka yang bukan-bukan. “Saya tak fikir sebab penatlah bang…sebelum
ni dia pernah uruskan projek yang lebih besar dan memenatkan dari menguruskan kem
motivasi untuk staf-staf awak tu, tapi takdelah muka keruh macam tu sekali. Ni mesti ada yang tak kena ni. Takpe kalau abang tak percaya, saya boleh
siasat sendiri”, balas Datin Hamidah yang kemudiannya juga berlalu meninggalkan
suaminya seorang diri di luar. Sakit
hatinya bila suami sendiri tidak menyokong apa yang dirasanya. Naluri seorang ibu tidak akan pernah
salah. Datuk Bakri hanya
menggeleng-gelengkan kepalanya melihat perlakuan isterinya itu.
HISYAM
merebahkan dirinya di atas katil bersaiz king. Walaupun dia masih bujang, dia lebih selesa
menggunakan katil besar. Badannya yang
letih tadi kembali segar selepas mandi.
Azan maghrib sayup-sayup kedengaran.
Tiba-tiba hatinya tersentuh mendengar laungan azan dari masjid yang
berhampiran dengan banglo kediamannya.
Satu perasaan aneh menjalar di hatinya.
Dia sendiri tidak tahu kenapa dia begitu tersentuh sebaik sahaja
mendengar laungan azan itu walaupun sebelum ini hampir setiap hari dia
mendengarnya tetapi tidak pula dia rasa seperti sekarang ini. Mungkin sebelum ini, dia tidak pernah
mempedulikan laungan azan yang menyeru umat islam mengerjakan solat. Laungan azan itu hanya seperti angin lalu di
telinganya. Namun, semenjak pulang dari
rumah Ayuni, dia merasakan ada kelainan apabila terdengar suara azan itu. Walaupun dia hanya sempat bermalam sehari
sahaja di rumah Ayuni, tetapi melihat keadaan keluarga Ayuni yang begitu
berpegang kuat pada ajaran agama, benar-benar membuat hatinya tersentuh. Setiap waktu solat, akan dilakukan secara
berjemaah. Dia dapat melihat pakcik
Ismail, Puan Zaharah dan kedua-dua adik Ayuni mengerjakan solat subuh secara
berjemaah. Dia yang pada ketika itu
terjaga kerana terasa ingin ke bilik air, rasa tersentuh melihat apa yang
dilakukan anak-beranak itu. Hisyam jadi
malu pada dirinya sendiri kerana pada saat mereka sekeluarga menunaikan solat,
dia dan Taufik terus tidur berdengkur.
Air matanya dirasakan mengalir secara tiba-tiba. Hatinya sungguh sayu apabila mengenangkan
sikapnya selama ini yang langsung tidak mengendahkan perintah Allah. Mungkin agak keterlaluan baginya jika
mengatakan bahawa menyukai Ayuni secara tiba-tiba telah mengingatkannya kepada
Allah tetapi itulah realitinya dan secara tiba-tiba juga hatinya telah dihantui
rasa rindu pada gadis itu. Ah! Terasa
terlalu berat masalah ini.
Ayuni! Kini giliran dirinya pula yang seolah-olah
angau pada gadis itu. Sebelum ini dialah
yang sering mengutuk Taufik apabila dilihat rakannya asyik termenung melayan
perasaan. Patutlah Taufik dilihatnya
seperti orang kurang siuman semenjak menggilai gadis itu, rupa-rupanya Ayuni
memang seorang gadis yang istimewa. Kenapalah
aku tidak dipertemukan terlebih dahulu dengan Ayuni? Kenapa harus Taufik, rakan karibku
sendiri? Wajah gadis manis kecil molek
itu bermain-main di ruang matanya. Matanya
yang bundar dan senyumannya yang manis jelas terbayang. Jika diamat-amati, wajah Ayuni mirip dengan bekas
pelajar AF5, Heliza. Fizikalnya juga
hampir serupa. Dipejamkan matanya
rapat-rapat dengan harapan wajah Ayuni akan hilang tetapi semakin rapat
matanya, semakin jelas wajah Ayuni dapat dilihat. Wajah Ayuni yang seolah-olah sedang mengejek
dirinya. Serta-merta dia teringatkan
insiden Ayuni yang telah menitiskan air mata di hadapannya sewaktu hari pertama
melaporkan diri untuk bertugas di Menara Holding. Memang di saat dia ternampak Ayuni menangis,
hati lelakinya juga tersentuh, namun disebabkan ego yang menebal, dia hanya
buat tidak tahu sahaja ketika itu hinggalah Taufik muncul.
Hatinya tiba-tiba
sedih apabila teringatkan Ayuni. Dia sedar
dia tidak berpeluang lagi mendekati gadis itu setelah Ayuni memutuskan untuk
menerima Taufik. Mungkin Ayuni memang
berdendam dengannya setelah dia melayan Ayuni buruk selama ini berbanding
dengan Taufik yang tidak pernah mengenal erti putus asa dan sentiasa cuba untuk
menawan hati Ayuni. Masih terngiang-ngiang
kata-kata pakcik Ismail sewaktu dia hendak berangkat pulang tadi. Kata-kata orang tua Ayuni itu seolah-olah
memberinya harapan, namun apalah dayanya setelah empunya diri membuat
keputusan. Lagi pun dia masih dan akan
tetap menghormati rakan karibnya, Taufik.
Tidak mungkin disebabkan seorang perempuan, dia tega untuk memutuskan
hubungan baiknya dengan Taufik. Biarlah Ayuni
hanya menjadi sebahagian dari kisah hidupnya walaupun kehadiran gadis itu
sebentar cuma. Hisyam akan cuba untuk
memujuk hatinya sendiri agar melupakan Ayuni demi Taufik walaupun sekali lagi dia terpaksa mengorbankan perasaannya
untuk Taufik selepas perkara yang sama dilakukan untuk Farah, bekas isteri
Taufik.

kesian kt Hisyam,,,
ReplyDeleteYela.....kesian kt Hisyam kan? tapi pengajaran utk dia.....
ReplyDelete