Blogger Widgets

BAB 37



            Tanpa disedari, cuti sakit Ayuni yang panjang sudah pun berakhir.  Sungguh pantas masa berlalu.  Dua minggu dirasakan sekejap sahaja.  Rasanya belum puas dia bermanja dengan semua ahli keluarganya, tetapi hari ini dia terpaksa pulang juga ke Kuala Lumpur.  Luka di kakinya juga telah sembuh dan dia sudah boleh berjalan dengan baik tanpa menggunakan tongkat lagi.  Masa dua minggu di kampung digunakan sebaik-baiknya oleh kedua orang tuanya untuk mengubati kaki Ayuni.  Minggu lepas sewaktu Hanis datang menjenguknya lukanya belum berapa sembuh.  Hanis cukup bimbang jika Ayuni terpaksa memanjangkan lagi cuti sakitnya.  Hanis sudah cukup bosan tinggal berseorangan di rumah sewa mereka. 
“Kalau macam ni luka kau, aku bimbang kau kena sambung cuti lagi ni Ayu…boleh ke betul-betul baik sebab cuti kau tinggal seminggu je lagi ni”,luah Hanis risau.  “Insyallah…kau tak payah bimbanglah Hanis.  Lama lagi nak tunggu sampai cuti sakit aku habis.  Sempat lagi nak baik ni.  Alah…kalau tak baik lagi pun apa susah, sambung ajelah cuti sakit tu…doktor kan ada…bila-bila masa aje dia boleh bagi aku cuti sakit lagi”, balas Ayuni dengan nada gurau.  Dia tahu Hanis amat risaukan dirinya.  “Kau ni Ayu, macam suka aje biar aku tinggal sorang-sorang kat rumah tu.  Aku boring gila tahu tak?  Lagipun, aku dah tak sanggup nak tengok muka Encik Taufik yang 24 jam muram mengalahkan macam orang mati bini.  Dah tu tak habis-habis tanya pasal kau.  Pantang nampak muka aku aje mesti tanya pasal kau…hishh..naik rimas aku dibuatnya..”, Hanis terus membebel.  Hanis kalau dapat membebel, tiada siapa menyangka yang gadis itu baru berusia 20-an kerana cara dia membebel memang dah setaraf dengan nenek-nenek.
Ayuni pelik mendengar kata-kata Hanis mengenai Taufik.  Betul ke Taufik tidak habis-habis bertanyakan tentang dirinya pada Hanis kerana hampir setiap hari Taufik akan menghubunginya bertanyakan khabarnya.  Kadangkala hampir setiap jam hingga Ayuni tidak larat untuk menjawab panggilannya.  Belum lagi dikira mesej yang dihantarnya.  Hampir setiap 15 minit dia akan menerima mesej dari Taufik.  Mesej yang kadangkala kelihatan seperti satu arahan.  Jangan lupa makan ubat…jangan banyak bergerak….jangan makan seafood….jangan keluar rumah dan macam-macam lagi sehingga satu peringkat Ayuni malas untuk membaca mesej yang dihantar oleh Taufik, namun dia sedar semua itu dilakukan kerana Taufik terlalu menyayanginya.  Buktinya, hari ini Taufik sanggup datang dari Kuala Lumpur ke rumahnya untuk menjemput Ayuni pulang walaupun ditegah oleh Ayuni, Taufik tetap berdegil untuk menjemputnya.
Ayuni masih mengemas pakaiannya sewaktu Taufik sampai ke rumahnya.  “Kakak!!  Abang Taufik dah sampai”, laung adiknya Auni sebaik sahaja melihat sebuah BMW 5 series berwarna hitam memasuki halaman rumahnya.  Mendengar Auni menjerit, pakcik Ismail dan Puan Zaharah terkocoh-kocoh keluar untuk menyambut kedatangan Taufik.  Hati Ayuni tiba-tiba berdebar-debar.  Sudah dua minggu dia tidak menemui Taufik.  Rindukah dia pada Taufik walaupun hampir setiap hari dia dapat mendengar suara lelaki itu atau sebenarnya dia keresahan.  Resah untuk pulang bersama ke Kuala Lumpur kerana belum pernah lagi dia keluar berdua-duaan apatah lagi dalam jarak yang agak jauh.  Kali terakhir dia keluar bersama Taufik semasa makan malam di Bora Asmara, Sungai Penchala.  Itu pun sudah hampir sebulan berlalu dan yang terkini keluar bersama ke Danga Bay dua minggu lepas.
Selepas Zohor, mereka bertolak pulang.  Semua ahli keluarga Ayuni berkumpul di halaman rumah.  Semuanya kelihatan amat sedih, lebih-lebih lagi Puan Zaharah kerana dia tidak tahu bila Ayuni dapat pulang ke kampung lagi setelah memulakan semula tugasnya.  Dia memeluk anak gadisnya.  “Kakak jaga diri baik-baik kat KL tu ye…jaga keselamatan kakak.  Jangan sampai jadi macam ni lagi…”, Puan Zaharah mula sebak.  Ayuni yang berada di dalam pelukannya juga menitiskan air mata.  “Insyallah bu…ibu janganlah risau…tahulah kakak jaga diri”, balas Ayuni yang cuba menenangkan hati ibunya.  Dia bersalam pula dengan ayahnya.  “Abah…kakak pulang dulu ye…Abah pun sama juga jangan risaukan kakak”, Ayuni mencium tangan ayahnya dan dipeluknya orang tua itu.  Pakcik Ismail hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.  “Ayu…abah sentiasa menyokong keputusan Ayu”, kata-kata pendek dari ayahnya cukup bermakna baginya.  Dia tahu apa yang ayahnya maksudkan.  Kini giliran Ayuni bersalaman dengan adik-adiknya, Alia, Auni dan Airil.  “Airil jaga abah, ibu dan adik-adik tau.  Jangan asyik keluar aje.  Alia, Auni pun sama…jaga abah dan ibu…tolong apa yang patut…belajar rajin-rajin semua…ingat,jangan abaikan pelajaran”, pesan Ayuni.  Sebagai kakak yang sulung sudah tentu banyak yang harus dipesan kepada adik-adiknya.  Maklumlah dia jauh di Kuala Lumpur.  Adik-adiknya sahajalah yang diharapkannya untuk menjaga ayah dan ibunya.  Semua mereka hanya mengangguk tanda patuh kepada arahan kakaknya.  Mereka saling berpelukan.  Memang terasa amat berat untuk meninggalkan keluarganya di kampung manakala keluarganya pula berat hendak melepaskan Ayuni pergi.  Taufik hanya memerhati.  Sayu juga hatinya melihatkan keakraban Ayuni sekeluarga.  Memang nilai kekeluargaan mereka amat tinggi.  Tiba-tiba dia jadi sayu apabila mengingatkan keluarganya sendiri kerana semenjak dia bercerai, keluarganya juga seolah-olah dipinggirkannya hanya kerana melayan lara hatinya.
Sepanjang perjalanan Ayuni hanya membisu.  Hatinya masih sayu kerana terpaksa meninggalkan keluarganya namun apakan daya, tugasnya sudah memanggil.  Dia juga harus menunaikan tanggungjawab yang telah lama ditinggalkan.  Sesekali Taufik berpaling memandang gadis kesayangannya.  Lega hatinya setelah dapat bersama dengan Ayuni.  Dua minggu dia seperti orang gila akibat menanggung rindu terhadap gadis kesayangannya itu.  “Ayu…kenapa ni?  Abang tengok Ayu muram aje…masih sedih lagi ke?”, Taufik memecah kebisuan.  Ayuni sedikit pelik apabila Taufik hanya memanggilnya Ayu kerana sebelum ini dia tidak pernah berbuat begitu.  Mungkin setelah mendengar orang tuanya memanggilnya begitu dan juga untuk menambahkan kemesraan antara mereka.  “Taklah bang…Cuma Ayu masih rasa tak puas bercuti kat kampung”, Ayuni cuba untuk mengeluarkan kata-kata mesra dengan Taufik walaupun sebenarnya dia masih kekok untuk memanggil Taufik dengan panggilan abang.  Taufik kerap memarahinya kerana asyik tersasul memanggilnya Encik Taufik setiap kali mereka berbual di telefon.  “Dah 2 minggu pun tak puas lagi?  Ayu langsung tak rasa rindu kat abang ke?  Atau abang sorang je yang rindukan Ayu sedangkan Ayu langsung tak pedulikan abang”, Taufik mula untuk memancing simpati Ayuni.  “Kenapa abang cakap macam tu?  Mereka kan keluarga Ayu…dah tentulah Ayu rasa sedih bila tinggalkan mereka”, balas Ayuni.  “Abang tak cakap pasal Ayu rindukan keluarga Ayu…abang tak persoalkan pun pasal tu sebab abang tahu memang itu yang patut Ayu lakukan sebagai anak dan kakak yang sulung…tapi abang cakap perasaan Ayu pada abang…selama 2 minggu Ayu di kampung, Ayu langsung tak rindukan abang ke?”, Taufik masih mengharapkan jawapan tulus dari bibir yang comel itu.  Ayuni memandang Taufik sekilas lalu tersenyum malu.  “Rindu….”. katanya perlahan.  “Apa dia?  Abang tak dengarlah.  Cakaplah kuat sikit”, Taufik sengaja menyuakan telinga kirinya ke arah Ayuni seolah-olah dia tidak mendengar jawapan Ayuni tadi.  “Alah…abang saja buat-buat tak dengar kan?”, bantah Ayuni.  Dia memang amat malu untuk menuturkannya lagi.  Sudah lama dia tidak mengeluarkan kata-kata manis dari mulutnya semenjak dia putus cinta dengan Amir.  Memang amat berat untuk diluahkan seperti ada ketulan emas di dalam mulutnya.  “Seriously, I can’t hear you sayang.  Please say it again.  Ok now I turn off the radio..”, rayu Taufik sambil menekan butang radio.  Ayuni tambah menggelabah.  Serius! Memang dia amat malu untuk meluahkannya.  “Sayang….please..”, rayu Taufik lagi setelah melihat Ayuni terus membisu.  “Ye…Ayu pun rindukan abang..ok puas hati?”, akhirnya Ayuni melafazkan juga walaupun dirasakan mukanya merah menahan malu.  Taufik tersenyum puas.  “Alhamdulillah…akhirnya rimdu juga orang tu kat kita kan?  Ikhlas tak ni?”, Taufik sengaja ingin terus menguji Ayuni.  Melihatkan Ayuni hanya mengangguk, Taufik menjerit “Yess!!!” sambil tangannya dihayun ke bawah tanda dia amat gembira.  Ayuni di sebelahnya hanya tersenyum memandang kelakuan Taufik.  Ada masa Taufik dilihatnya berperangai kebudak-budakan.
“ Sayang…hujung minggu ni abang nak bawa Ayu jumpa ayah dan ibu abang.  Abang nak kenalkan Ayu pada mereka”, sambung Taufik setelah suasana hening seketika.  Ayuni tersentak.  “Hujung minggu ni?”, soal Ayuni.  “Haah…hujung minggu ni…kenapa Ayu ada apa-apa program ke?”, balas Taufik sebaik sahaja melihat reaksi Ayuni yang agak terkejut.  Otak Ayuni ligat mencari alasan kerana bukan disebabkan dia ada hal lain tetapi disebabkan tindakan Taufik itu terlalu awal baginya.  Dia belum bersedia kerana dia masih ingin mengenali hati budi jejaka kacak di sebelahnya itu.  Dia tidak mahu pisang bebuah dua kali.  Cukuplah sekali dia mengalami kekecewaan dan sebolehnya dia tidak mahu lagi mengalami situasi yang sama.  “Abang tak rasa cepat sangat ke?  Ayu belum bersedia lagilah…”, luah Ayuni jujur.  Taufik hanya tersenyum memandang Ayuni.  Rupa-rupanya itu yang digusarkan oleh Ayuni.  “Ayu..abang pernah cakap pada Ayu dulu kan  yang abang memang sangat serius dengan hubungan kita dan tindakan abang ni untuk membuktikan abang tidak pernah main-main dengan kata-kata abang selama ini.  Lagi pun abang tak mahu terlambat.  Abang bimbang kalau abang terlambat, abang akan berputih mata maklumlah sayang abang ni kan ramai peminat”, jelas Taufik panjang lebar.  Ayuni tidak faham maksud kata-kata Taufik.  Apa yang Taufik bimbangkan?  Apa maksud bimbang terlambat?  Adakah kata-katanya merujuk kepada Hisyam.  Jika benar, memang Taufik sudah salah sangka dengan rakan baiknya sendiri kerana dia amat pasti Hisyam tidak akan berbuat begitu.  Buktinya selama 2 minggu dia di kampung, Hisyam langsung tidak pernah menghubunginya walaupun hanya dengan sebuah mesej sahaja.  Ayuni tiada pilihan.  Akhirnya dia terpaksa bersetuju dengan cadangan Taufik walaupun dengan hati yang berat.  Dia amat bimbang walaupun secara jujurnya dia tidak tahu apa yang dibimbangkannya.

1 comment:

  1. Memaksalah si Taufik ni ! Klau sye , x ske org paksa2 ni ! :))

    ReplyDelete

HAKCIPTA TERPELIHARA: KARYA ANDAI ITU MILIKNYA ADALAH HAKMILIK ROSILA BT RAHMAN